Jauhari Sahaja Yang Mengenal Manikam

April 1, 2009 at 7:14 am 1 comment

Bahan ini saya perolehi daripada emel dan disiarkan untuk bacaan semua. Para peminat Allahyarham Tan Sri P. Ramlee terutamanya perlu baca.

Do Re Mi

Ia salah satu cerita yang saya tidak jemu menonton. Babak yang paling menarik ialah apabila Do Re Mi masuk ke dalam rumah untuk menjual berus gigi dengan pakaian bukan main cantik dengan kot, tali leher dan kasut kilatnya tetapi pakai topeng mata macam penyamun. Selepas itu, tuan rumah dipaksa beli.

Memang sinonim dengan situasi sekarang. Maksud yang tersirat ialah Do Re Mi itu orang berniaga tetapi macam penyamun, paksa orang beli dan bayar walaupun barang itu diperlukan.

Ia banyak terjadi sekarang. Laporan audit negara tahun 2007, begitulah keadaannya. Barang yang tidak perlu pun dibeli, malah dengan harga mahal. Barang yang murah jadi berkali-kali ganda mahalnya, begitu juga barang yang langsung tidak diperlukan. Ini hanya untuk memuaskan hati penyamun yang bertali leher dan berkot itu.

Siapa penyamun dan siapa yang disamun? Penyamunnya ialah kontraktor, pembekal dan pegawai yang meluluskan tender itu. Yang disamun ialah rakyat, duit pembayar cukai dan duit budak-budak sekolah. Sepatutnya duit itu boleh buat belanja budak sekolah, bantuan buku, bantuan makanan dll tetapi masuk poket penyamun.

Dalam babak yang sama, ada watak polis. Siapa polis itu?

Hebat betul P. Ramlee (Allahyarham) mengintepretasikannya. Beliau mungkin telah lihat perkara begitu pada zamannya, sebab itu filemnya masih releven dan tidak jemu ditonton. Penyamun-penyamun itu masih berleluasa sampai sekarang dan ada yang dapat perlindungan pula.

3 Abdul

Cuba pula lihat 3 Abdul, tuan penasihat ada macam-macam. Jika silap pilih, penasihat yang paling bijak pun boleh jadi macam sangkar perangkap monyet. Silap haribulan perangkap makan tuan. Tuan penasihat memang sudah tetapkan 25% dalam setiap urusan. Modal dia, air liur sahaja beri idea. Begitulah sekarang, setiap urusan memang sudah ada “25%” itu untuk orang tengah.

“Kalau marah nanti kena jual.”

Itulah syarat utama dalam perjanjian 3 Abdul dengan Saddiq Sigaraga. Apa maksud P. Ramlee itu? Apa kena-mengena dengan orang marah?

Orang marah ialah orang yang gagal mengawal emosi mereka. Orang marah telah ditiupkan dengan api kemarahan oleh syaitan. Kelemahannya akan terserlah. Hanya orang bijak sahaja dapat memanipulasi kelemahan ini. Sesetengah orang apabila marah, dia jadi takut atau cuba menenangkan orang itu. Tapi manipulator akan ambil kesempatan kerana orang sedang marahlah paling mudah diprovokasi. Orang marahlah akan buat tindakan bodoh, cakap yang tidak senonoh dan senag manipulator masukkan dia ke dalam perangkap monyet dan jual di restoran eksotik. Dalam 3 Abdul, jadi hamba lelongan.

Ini banyak terjadi dalam politik. Ada seseorang yang bertaraf menteri, yang dahulu tugasnya mengawal kegiatan kongsi gelap kelas pertama, sebab marah pasal isu ketuk ketampi dan tersalah cakap pasal pelancong negeri Hang Li Po terus ditukar mengawal kegiatan samseng di sekolah. Jauh sangat turunnya.

P. Ramlee telah beritahu pasal pentingnya Emotional Quotient (EQ) dahulu lagi. Walaupun EQ belum diperkenalkan ketika itu. Hinggakan untuk perkara baik pun perlu dijaga EQ itu. Lihat semasa 2 Abdul itu ditemukan dengan isteri masing-masing, Abdul Wahib menyergah supaya mereka mengawal perasaan dan perlakuan.

Ali Baba Bujang Lapuk

Penyamun boleh bawa berpakat, tiada masalah asalkan pandai. Boleh buat-buat seperti dirompak, selepas itu tuntut insurans. Penyamun zaman Ali Baba Bujang Lapuk pun ada persatuan. Samalah macam sekarang, ada macam-macam persatuan dan institusi yang menyamun duit rakyat. Projek yang kononnya menjaga kepentingan rakyat diagih-agihkan peruntukan kerajaan itu sesama mereka.

“Kalau awak berani mancari lain penyamun, seluruh persatuan penyamun akan ambil tindakan.”

Banyak yang tersirat dalam dialog tersebut.

P. Ramlee sudah beritahu penyakit-penyakit orang Melayu lama dahulu. Sekali lagi kita buat silap, tidak ambil iktibar apa yang disampaikan 40 tahun dahulu. Selama 40 tahun itulah kita hanya pandai gelak apabila melihat komedi sinis itu di TV tetapi tidak pandai menilainya.

P. Ramlee memang genius. Belum ada lagi filem Melayu sekarang ini yang dapat mengetengahkan isu-isy orang Melayu secara sinis dalam panggung wayang, atas layar perak. Sebagai orang seni, beliau cukup sensitif dengan masalah masyarakat Melayu ketika itu. Kehebatan beliau terletak pada bagaimana beliau menceritakan kisah Melayu dengan analogi yang halus sekali. Beliau menggunakan adab Melayu yang suka beralas apabila bercakap menggunakan medium fielm. Filemnya sarat dengan mesej.

Nujum Pak Belalang

Nasib negara ditentukan dengan pertaruhan dan ego si sultan. Pertaruhan, perjudian, sudah tentu ada taukenya.

Isu hangat yang terjadi. Tauke judi pun terlibat dalam menentukan siapa yang patut jadi “ketua kepada segala ketua perbincangan”. Sang penasihat, Si Kitul jadi dalangnya, “Correct, correct.”

Dalam filem itu, ahli nujumlah yang menjadi penasihat negara. Apa yang dimusykilkan sultan, pendapat ahli nujumlah yang penting. Sekarang, penasihat negara ialah peguam. Nasihat peguam penting kerana dia tahu selok-belok undang-undang. Ada peguam negara dan ada peguam broker.

Dek ghairah bercerita, bahis semua jawapan teka-teki diberitahu olehnya, si Belalang pula yang secara kebetulan bersembunyidi bawah perahu mencuri dengar . Belalang moden pula badannya besar, dia tidak bersembunyi cuma pakai kamera tersembunyi sambil duduk atas kerusi. Sang peguam pula beria-ia bercerita, dia langsung tidak tahu ada orang curi rakam. Habis bocor segala rahsia dan komplot.

Sebab ahli nujum dan peguam penasihat tidak beretika, muslihat masing-masing makan tuan. Bukan itu sahaja, dengan tuan-tuannya tergadai. Sultan Masai tergadai negeri, dalam cerita moden hakim tergadai maruah.

Hairan, filem yang sudah 40, 50 tahun masih releven sekarang. Saya tidak pasti sama ada peristiwa yang sama atau hampir sama pernah terjadi pada zaman itu.

Musang Berjanggut

Sebuah filem yang begitu klasik penyampaiannya kerana ia satu-satunya komedi sinikal yang berprofil tinggi yang dihasilkan beliau. Maksudnya cerita tersebut memaparkan telatah kurang akal di sebalik jawatan dan protokol pemerintah apabila berhadapan dengan godaan wanita. Berprofil tinggi kerana kononnya yang terlibat ialah baginda sultan, menteru dan orang besar kerajaan. Ada yang sanggup jadi kerusi, kuda tunggangan, hiasan rumah dan macam-macam lagi kerana wanita.

Masing-masing cuba menyembunyikan kebobrokan sendiri, padahal mereka saling tahu kebobrokan sesama mereka. Namun salah seorang akan menjadi mangsa untuk menyedarkan kebobrokan masing-masing.

Seronoknya apabila dibuka peti kononnya ada musang terperangkap. Masing-masing terpinga-pinga dan segala orang besar istana, menteri dan baginda sultan sendiri tahu yang rahsia mereka sudah diketahui. Musang yang tertangkap itu pula ialah orang kuat baginda sendiri.

Orang kuat baginda terperangkap sebab menyorok dalam tempat yang salah pada waktu yang salah. Jadilah ia mangsa untuk dijadikan bukti di hadapan sultan. Sultan tergamam tidak terkata.

Namun kisah ini tidak disulami dengan kematian atau letupan tapi disudahi dengan “happy ending” dan kemaafan daripada P. Ramlee jika menyinggung pihak tertentu. Tajam sungguh sindiran beliau. Kebelakangan ini, filem tersebut seperti terkeluar daripada senarai slot tayangan filem-filem beliau.

P. Ramlee ialah pengkritik sosial terhebat melalui medium filem. Filem-filemnya sudah sampai satu peringkat macam cerita rakyat kerana sentiasa sinonim dengan apa zaman pun. Cerita rakyat seperti Aladdin, Golden Egg Goose, Luncai dan Labunya tetap segar walaupun sudah beratus tahun. Moralnya masih releven. Cerita P. Ramlee begitu juga. Ada banyak lagi yang tersirat, banyak moral jika diteliti.

Apa yang dikaryakan memang terjadi dahulu, sekarang dan masa akan datang. Beliau ada kemahiran mengutarakan isu-isu kronik secara sinis dan tidak menghentam secara terus tetapi berseni sekali.

Beliau sebenarnya mengajak orang Melayu berfikir, melihat cermin dan menilai diri sendiri. Tidak ramai yang dapat melihat apa yang dilihat beliau menerusi karyanya. Bagi mereka yang faham, terasa tersindir. Yang tidak sedar diri, terbahak-bahak ketawa kemudian terdiam sekejap kerana tersear yang dia gelakkan diri sendiri. Hahaha.

Yahamim: Hendak menjadi “jauhari” yang mengenal “manikam”.

Entry filed under: Pesanan. Tags: .

Cikgu Ha: Cuba Jaya Lawak Nama Jepun

1 Comment Add your own

  • 1. Cik Puan Kerang  |  April 1, 2009 at 9:25 am

    Wah, enak benar dihadam penulisan saudara kali ini. Cik mengamatinya satu-satu untuk betul-betul fahamkannya.

    Di UKM, ada ilmuan yang membuat Ijazah Kedoktoran dalam bidang menterjemah mesej filem-filem P. Ramlee. Alamak, tetapi Cik terlupa siapakah beliau dan apakah butir tajuk projek tersebut.

    Bolehlah En. Hamim buat PhD juga… menterjemah falsafah P. Ramlee…

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Trackback this post  |  Subscribe to the comments via RSS Feed


April 2009
M T W T F S S
« Mar   May »
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
27282930  

Maklumat Penulis

Nama penuh saya ialah Hamim Bin Nasoha. Bekas pelajar jurusan Kejuruteraan Elektrik (Telekomunikasi) di UTM Skudai dari tahun 2001 hingga 2007. Bekas pemimpin pelajar di Kolej Tuanku Canselor (KTC) sebagai Ketua Biro Kebudayaan JKMKTC 2004, Timbalan Pengerusi 1 JKMKTC 2005 dan Pembantu Felo (2006-2007).
Add to Technorati Favorites

Blog Stats

  • 108,092 hits

Twitter Updates

RSS Unknown Feed

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

RSS Unknown Feed

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

RSS Unknown Feed

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

RSS Unknown Feed

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

%d bloggers like this: