Langgar Pantang
March 10, 2009 at 12:08 am 2 comments
Orang Melayu sangat banyak pantang larang dalam kehidupannya dan sangat berpegang kepadanya. Pantang larang tersebut meliputi adab pergaulan, pemakanan, adat, merawat penyakit dan sebagainya.
Orang Melayu juga sangat sensitif dengan mereka yang melanggar pantang. Istilah yang biasa kita dengar akibat melanggar pantang adalah tulah, bentan dan sebagainya bergantung kepada jenis pantang yang dilanggarnya.
Kali ini saya juga sudah melanggar pantang. Abah saya sejak dahulu melarang saya mengikuti aktiviti politik dan perhimpunan/perarakan yang bertujuan demonstrasi atau tunjuk perasaan. Larangan itu sudah saya langgar.
Ahli bahasa dan budayawan yang selama ini vakum politik, iaitu tidak mahu masuk campur hal-hal yang berbentuk politik juga sudah tidak betah duduk diam. Mereka terpaksa turun padang dan bersingsing lengan kerana tidak tahan lagi dengan penindasan yang bertimpa-timpa terhadap Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Saya sebagai orang biasa ini apatah lagi, tidak tega duduk diam sahaja.
Saya yakin abah pasti percaya dengan perjuangan saya dan menyokong apa yang saya perjuangkan. Ini disebabkan abah adalah antara orang yang tidak senang dengan penindasan terhadap Bahasa Melayu.
Sehingga kini saya yakin abah masih belum tahu saya mengikuti perhimpunan menentang PPSMI. Mujur juga sebagai anak lelaki, emak dan abah tidak telefon sejam sekali untuk buat “spot check” aktiviti anaknya. Mujur sekali.
Berkait-kait akan beluru,
Berkelok-kelok lilit rotan,
Berpahit-pahit kita dahulu,
Barulah elok hari kemudian.
Yahamim: Tidak langgar pantang semasa berkhatan dahulu.
Entry filed under: Coretan Dari Hati, Isu Semasa.
1.
CypherHackz | March 10, 2009 at 2:22 am
Ada terkena tembakan gas pemedih mata tak tuan? Takkan takde amik gambar semasa di tempat kejadian?
2.
hamimnasoha | March 10, 2009 at 7:25 am
Kena. Mata jadi pedih, sistem pernafasan terganggu, kulit rasa gatal dan pedih macam terbakar. Separuh waras jadinya ketika gas pemedih mata ditembak bertalu-talu.
Gambar pada entry “Doa Saya” adalah gambar semasa kejadian tetapi bukan daripada kamera saya. Kebanyakan gambar yang saya ambil semasa keadaan tenang, bukan semasa “kekecohan” berlaku.