Prihatin Dengan Agama Kita

May 13, 2008 at 4:11 am 5 comments

SETELAH membelanjakan RM1,360, Ahmad (bukan nama sebenar) mulai sedar ada sesuatu yang tidak kena dengan ajaran kumpulan yang diikutinya. Tambahan ada ahli dalam kumpulan yang lalai menunaikan sembahyang, dan apabila ditanya mereka menjelaskan solat boleh dibahagi kepada dua; yang aktual dan ritual.Sembahyang aktual adalah lain-lain amalan, khususnya melakukan kerja-kerja di dalam organisasi mereka. Malah ulasan mereka mengenai hadis daripada Aisyah yang menceritakan Rasulullah s.a.w. bersembahyang sehingga bengkak kakinya, jauh berbeza daripada yang biasa didengar. Hurai mereka, jika baginda melakukan solat biasa, takkan kakinya menjadi bengkak. Sebenarnya sembahyang Nabi s.a.w. itu bukan solat biasa, tetapi amalan-amalan lain juga adalah solat, kata mereka.
Kelainan huraian mengenai perkara asas dalam Islam ini menimbulkan rasa ‘cuak’ dalam hati Ahmad. Bagaimana maksud sembahyang fardu ini boleh diperluaskan sedemikian rupa, sedangkan sebelum ini tidak ada ulama menghujahkannya sedemikian? Di mana pula dalil al-Quran dan sunah untuk menegakkan kebenaran hujah sebegini?

Pemuda berusia 25 tahun dan berperwatakan pendiam ini mengakui, dia mula memasuki Kumpulan Daulah Islam Nusantara (DIN)/Pemuda Kahfi tahun lalu setelah diajak tiga rakan sekolahnya untuk mengikuti pengajian al-Quran.
Tanpa disedari, Ahmad menjadi seorang prospek bagi rakan-rakannya yang mengikuti kumpulan yang dikhuatiri sebuah ajaran sesat ini. Mengikut ingatannya, mereka telah tiga kali mengajaknya mengikuti kelas pengajian itu, bagaimanapun dia diberitahu, menurut rekod mereka telah mencuba sebanyak empat kali. Ahmad terkejut, rupanya setiap cubaan mereka menariknya memasuki kumpulan itu direkodkan!

Namun mereka terlalu berahsia. Dia tidak akan diberitahu di mana, bila dan siapa yang akan mengajar dalam pengajian itu. Untuk mengikuti pengajian, mereka akan menunggu di beberapa tempat seperti di stesen minyak, masjid, pusat membeli-belah di Cheras, Kajang, Seri Kembangan dan sebagainya, sebelum dibawa mengikut jalan belakang ke tempat-tempat tertentu untuk mengikuti kelas al-Quran. Ini untuk merahsiakan lokasi sebenar aktiviti, tetapi alasan yang diberi mereka ialah, khuatir pergerakan mereka diketahui ‘orang kafir.’

Menurut Ahmad, dalam tempoh 5-10 hari terawal, mereka akan menimbulkan keraguan terhadap perkara-perkara asas dalam Islam sehingga berasa selama ini dia tidak faham agama dan merekalah orang yang benar-benar boleh mengajar, dan memberikan kefahaman sebenar mengenai al-Quran.
Setiap sesi dia akan diasak dengan pelbagai ilmu oleh seorang guru yang digelar penyampai, pendamping dan sponsor. Kursus dijalankan secara intensif, tiga atau empat hari dalam seminggu selama hampir tiga jam, bertubi-tubi, dengan tiga orang cuba meyakinkan atau ‘menyerang’ seorang prospek dari segi psikologi.

Mereka menimbulkan keraguan sehingga tahap seorang prospek sanggup membayar sejumlah wang untuk mengikuti pengajian enam bulan seterusnya. Mereka berasa ini adalah sesuatu yang istimewa, dan tidak dapat diperolehi di tempat-tempat lain.
Mereka menggunakan ayat al-Quran untuk berhujah, bagi menarik golongan yang berminat dengan agama. Mereka juga menghafal beberapa ayat al-Quran, dan bercakap berlapikkan hujah al-Quran. Ini menimbulkan keyakinan. Malah pemuda ini telah dapat menghafal banyak ayat al-Quran walaupun baru mengikutinya beberapa bulan.

Menurut mereka, perkataan Muhammad yang digunakan di dalam al-Quran adalah satu predikat bagi orang yang membawa ajaran Ahmad. Jadi mereka yang membawa ajaran al-Quran juga adalah Muhammad, berstatus kerasulan.

Mereka mendakwa ramai ‘orang besar’ telah menyertai kumpulan itu. Malah kata mereka, jika berselisih dengan ‘umat’ (ahli kumpulan) itu pun mereka tidak akan saling mengenali.
Kata Ahmad, dalam forum-forum atau chatting agama di Internet, unsur-unsur ajaran kumpulan ini yang mentafsir ayat-ayat al-Quran tanpa mengikut asbabul nuzul, boleh dikesan. Mereka ingin menegakkan negara Islam kerana pemerintah-pemerintah sekarang dianggap umpama Firaun. Negara-negara sedia anggap bukan negara Islam, negara atau daulah Islam adalah di sebuah tempat di negara jiran, dan ahli perlu membayar sejumlah wang untuk ke sana setelah mengikuti program-program yang disusun.
Menurut mereka Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah untuk membina sebuah daulah Islam. Sedangkan sekarang kita ibarat berada di Mekah yang bukan sebuah ‘negara Islam’. Maka bagi mereka, sesi tilawah dianggap seperti sedang berperang untuk membina negara,

Ahmad bagaimanapun bersyukur dia tidak sempat untuk terbabit terlalu jauh. Dia menyertai mereka kurang enam bulan sebab tidak dapat menerima hujah mereka berkaitan solat. Bagaimanapun telah membayar RM1,000 untuk yuran pendaftaran, RM300 wang taubat dan RM60 lagi sebagai infak.
Menurutnya, ada ahli yang keluar kerana tidak mampu membayar yang dituntut ke atas mereka. Tetapi apabila dia keluar kerana tidak bersetuju dengan ajaran-ajaran kumpulan itu, dia dipanggil kafir. Katanya, ada di antara pengikut kumpulan ini menjadi taasub, dan sukar untuk keluar.

Pengakuan Ahmad ini dibuat dalam sesi khas semasa Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Yusri Mohamad mendedahkan ajaran kumpulan ini dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat pergerakan itu di Gombak, Selangor baru-baru ini.
Kumpulan ini, Daulah Islamiyah Nusantara (DIN) ataupun disebut Pemuda Kahfi menurutnya mungkin telah bergerak secara rahsia selama 10 tahun di negara ini. Bagaimanapun ABIM mengesan organisasi ini bergerak aktif di beberapa kawasan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya lebih setahun.

Mereka dikatakan membentuk wilayah-wilayah yang dipimpin oleh seorang yang digelar ulul amri serta beberapa beberapa pemimpin bawahan yang menjalankan sesi pengajaran kepada ahli. Sesi pengajaran itu merupakan proses indoktrinasi yang boleh menyebabkan ahli taasub kepada ajaran dan arahan pemimpin.

Menurut Yusri, ramai ahli DIN/ Pemuda Kahfi ini terdiri daripada golongan profesional seperti doktor, jurutera, peguam, pensyarah dan sebagainya. Mereka juga mendakwa beberapa ‘orang besar’ turut mengikuti ajaran ini.
Terbaru kumpulan itu juga dikesan menjadikan pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta sebagai sasaran mereka. Malah sebilangan kecil pelajar IPT didapati telah pun terbabit dengan kumpulan ini.

Selaras itu, Yusri menasihatkan para ibu bapa memantau anak-anak mereka yang berminat dan mengikuti pengajian agama agar tidak mengikuti kumpulan yang menyeleweng sebegini.
Beliau juga berharap dengan pendedahan ini, mereka yang terbabit, terutama yang telah sampai ke tahap digelar ‘umat’, tampil ke hadapan untuk memberi maklumat lanjut kepada pihak berkuasa.
Menurutnya, ajaran kumpulan ini adalah merbahaya bukan sahaja dari sudut penyelewengan akidah, mengeksploitasi wang para ahlinya, dan bertentangan dengan norma-norma sosial masyarakat, tetapi boleh mengancam keselamatan negara kerana menyemai sikap taasub kepada pemimpin serta gerakan.

Daripada kajian ABIM selama hampir enam bulan, ajaran-ajaran DIN/Pemuda Kahfi mempunyai banyak persamaan dengan gerakan Negara Islam Indonesia (NII) yang berpusat di Maahad Al-Zaytun di Indonesia. Walaupun ABIM pada dasarnya tidak mengaitkannya dengan NII tetapi istilah-istilah yang digunakan dan ajaran kumpulan di Malaysia ini mempunyai persamaan dengan NII. Contohnya ‘kahfi’, ‘dikahfikan’ dan penjelasannya berkaitan tauhid, kerasulan dan sebagainya.
Bacaan lanjut melalui blog di Internet mendapati, ajaran daripada Maahad Al-Zaytun, yang merupakan pasentren terbesar di Asia, telah disahkan terpesong daripada ajaran Islam sebenar oleh kerajaan Indonesia dan Malaysia.

Tokoh utama gerakan NII Al-Zaytun adalah Syeikh Abdus Salam Panji Gumilang atau lebih dikenali sebagai Abu Toto, 59, yang berasal dari Gresik. Beliau telah berjaya membina pesantren yang serba moden dan mempunyai kemudahan canggih di Mekar Jaya, Haur Geulis, Indramayu Jawa Barat. Maahad ini didirikan atas tanah seluas 1,200 hektar dan dana jutaan rupiah pada 1996.
Kerajaan Malaysia tidak berapa lama dahulu telah memanggil pulang pelajar kita daripada maahad tersebut kerana didapati menyeleweng. Selain itu Maahad Al-Zaytun juga dikatakan bijak menggunakan istilah-istilah agama seperti zakat, sedakah, infak, kafarat dan sebagainya untuk mengutip wang daripada para pengikutnya.

Antara ajaran mereka mempunya persamaan dengan ajaran kumpulan DIN/Pemuda Kahfi yang didedahkan oleh ABIM ini. Antaranya:

* Dari segi akidah, membahagikan masalah tauhid kepada tiga; tauhid rububiyyah yang diibaratkan akar tetapi ditafsirkan dengan undang-undang. Tauhid Mulkiyyah yang diibaratkan batang dan ditafsirkan sebagai negara, dan Tauhid Uluhiyyah yang diumpamakan buah, dan ditafsirkan sebagai umat.
* Tauhid mulkiyyah adalah terpenting dan menjadi doktrin utama dalam memperjuangkan kekuasaan dan kedaulatan Allah dalam mewujudkan negara Islam.
* Ajaran maahad ini juga menyatakan kerasulan dan kenabian tidak berakhir, malah setiap yang menyampaikan dakwah Islam adalah rasul Allah.
* Walaupun mengakui al-Quran adalah wahyu yang diturunkan kepada Muhammad, tetapi mereka berpendapat manusia bebas mentakwil atau mentafsir ayat-ayat itu sama ada yang muhkamat mahupun mutasyabihat.
* Sembahyang lima waktu tidak diwajibkan, malah membahagikannya kepada dua; solat aktivitas dan solat ritual. Solat aktivitas adalah menjalankan program seperti merekrut ‘umat’ agar menyertai kumpulan mereka dan mengumpul dana.
* Mereka yang di luar kumpulan atau tidak mahu mengikuti syariat Islam menurut tafsiran mereka adalah kafir.
* Dosa boleh dihapuskan dengan membayar wang kepada organisasi.
* Indonesia dianggap sebagai Mekah sedangkan NII KW. IX Al Zaytun adalah Madinah. Maka segala ibadah seperti solat, zakat, puasa dan sebagainya tidak sah dan tidak akan diterima dilaksanakan di ‘Mekah’. Amalan-amalan itu hanya diterima jika dilakukan di ‘Madinah.’
* Mereka yang tidak masuk NII adalah kafir dan akan masuk neraka, hanya kelompok mereka saja yang akan ke syurga.
* Setiap anggota wajib infak mengikut jumlah yang telah ditetapkan.

– Majalah Al Islam November 2005

 

Entry filed under: Pesanan. Tags: .

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 Prihatin Dengan Agama Kita (2)

5 Comments Add your own

  • 1. azaytun  |  May 21, 2008 at 12:05 pm

    🙂

    Reply
  • 2. hamimnasoha  |  May 22, 2008 at 1:51 am

    Tertanya-tanya saya, kenapa senyum je. Cakap la sesuatu =)

    Reply
  • 3. lisa  |  October 7, 2008 at 11:12 am

    Salam saya tgh surf2 psl gerakan ni, pastuh terjumpa blog ni. Saya pernah di brainwash oleh mrk2 ni, walaupun benda yg diorg ckp tu memula make sense, makin lama makin merepek.

    cthnye mrk menganggap org yg belum ‘ditilawah’ tu kafir.
    solat ritual aktual tu mmg sy pnah dgr, and dlm situasi “perang” atau darurat ni, hukum islam belum tertegak, jadi xperlu solat jumaat, wanita x wajib bertudung mcm2 lagi la

    sy nak counter susah sbb sy bukan pandai bab2 agama ni, ayat quraan n tafsir n hadis byk sy tak hafal..

    bila kite object, ada aja jawapannya, n mrk quote jugak dr alquraan, walaupun maksudnya bukan begitu, tpi mrk justifikasikan agar maksudnya begitu..fhm x? kirenye diorg dah boleh expect apa org akan persoalkan dan mmg dah sedia dgn set jawapan “berlandaskan” quraan utk counter kite balik..sy yg x byk ilmu ni dah tatau nak kate ape, walhal sy punya instinct yg apa yg diorg buat itu salah

    sy pun ape nak buat sbb ahli kluarga sy sendri terlibat..

    Reply
  • 4. NAWI  |  January 11, 2009 at 9:48 am

    biar apa pun yang mereka kata kita teruskan perjuangan menegakkan deen allah agar suatu masa nanti kalian akan mengerti yang mana batil yang mana haq…. pegang pada kitaballah dan rasulnya…singgah kami di kakisyurga.blogspot

    Reply
  • 5. bahtiar  |  December 21, 2010 at 5:10 am

    Alhamdulillah, makin banyak umat yang berhati-hati terhadap NII Zaytun.

    Salam,
    Mantan NII KW 9
    http://niikw9.wordpress.com/

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Trackback this post  |  Subscribe to the comments via RSS Feed


May 2008
M T W T F S S
« Apr   Jun »
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031  

Maklumat Penulis

Nama penuh saya ialah Hamim Bin Nasoha. Bekas pelajar jurusan Kejuruteraan Elektrik (Telekomunikasi) di UTM Skudai dari tahun 2001 hingga 2007. Bekas pemimpin pelajar di Kolej Tuanku Canselor (KTC) sebagai Ketua Biro Kebudayaan JKMKTC 2004, Timbalan Pengerusi 1 JKMKTC 2005 dan Pembantu Felo (2006-2007).
Add to Technorati Favorites

Blog Stats

  • 108,107 hits

Twitter Updates

RSS Unknown Feed

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

RSS Unknown Feed

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

RSS Unknown Feed

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

RSS Unknown Feed

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

%d bloggers like this: