Belasungkawa (Datuk Ishak Baharom)
February 1, 2008 at 2:58 am Leave a comment
Bekas Mufti Selangor meninggal dunia
SHAH ALAM 30 Jan. – Bekas Mufti Selangor, Datuk Ishak Baharom, 80, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh tengah hari ini selepas hampir 21 jam dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan.
Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Sungai Buloh, Dr. Khalid Ibrahim berkata, Allahyarham meninggal dunia pada pukul 2.50 petang akibat pendarahan dalam kepala.
Beliau telah dimasukkan ke hospital tersebut pada pukul 6 petang semalam.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan esok.
Ishak berani terima tindakan demi kebenaran
Oleh Zuarida Mohyin (Wartawan Utusan)
“SAYA sebenarnya ialah murid Allahyarham sewaktu menuntut di Madrasah Masyriyah Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang. Pada masa itu, usia saya baru 12 tahun dan Allahyarham merupakan guru di sekolah tersebut,” kata bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Md. Hashim Yahya kepada Utusan Malaysia berkenaan bekas Mufti Selangor, Datuk Ishak Baharom.
Allahyarham Ishak meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh pada pukul 12 tengah hari Rabu selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital tersebut pada pukul 6 petang semalam akibat masalah tekanan darah.
Kata Hashim lagi, hubungan antara mereka berdua berterusan biarpun Allahyarham melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di Universiti Darul- Ulum, India dan kembali semula ke tanah air sebelum menjawat jawatan Mufti Selangor dari 16 Ogos 1985 hingga 1997.
Perbualan kami terhenti seketika apabila Hashim tidak dapat menahan kesedihan sehingga menitiskan air mata. Perasaan sedih yang tidak dapat dibendung itu turut dikongsi penulis meskipun tidak mengenali Allahyarham secara dekat.
“Beliau adalah guru yang sangat alim, tinggi ilmu agama dan tinggi akhlaknya. Malah Allahyarham yang saya kenali juga seorang yang berpendirian tegas serta tidak berkompromi terutamanya yang menyentuh soal amar makruf nahi mungkar.
“Paling saya hargai apabila Allahyarham sentiasa memberi dan bertukar-tukar pandangan dan pendapat semasa saya menjadi mufti dahulu. Alhamdulillah, hubungan kami tidak terputus setakat di situ, keakraban kami berpanjangan walaupun dalam urusan kekeluargaan,” sambung Hashim tentang tok guru yang berasal dari Banting, Selangor ini.
Sementara itu, Mufti Negeri Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, Allahyarham ialah seorang ulama yang cukup gigih, berani, tegas dalam berdakwah sehingga disegani kawan dan digeruni lawan.
“Malah sepanjang beliau berkhidmat dahulu pun, beliau sanggup menegakkan kebenaran Islam tanpa memikirkan apa yang bakal dihadapi kesan daripada tindakannya itu.
Allahyarham juga tidak pernah memilih mana-mana undangan ceramah walau ia besar mahupun kecil.
“Pemergian Allahyarham menandakan kita kehilangan seorang ulama besar buat agama dan negara.
“Maka sama-samalah kita doakan semoga roh Allahyarham tergolong di kalangan ahli syurga,” katanya yang turut merasai kehilangan teman seperjuangannya itu.
Allahyarham Datuk Mufti Ishak Baharom dilahirkan pada 1 Januari 1928 di Kampung Batu 22, Kanchong Darat, Banting, Selangor. Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kanchong Darat (1935 – 1941).
Selepas kontraknya sebagai Mufti Selangor ditamatkan pada 1997, Allahyarham aktif sebagai pendakwah bebas sehingga ke akhir hayatnya.
Ayahnya, Baharom Jabar, berasal dari Banjarmasin, Sumatera. Manakala ibunya Hajah Fatimah Junid berasal dari Melaka.
Allahyarham meninggalkan tiga orang anak hasil perkahwinan pertamanya dengan Maznah Yusuf sejak tahun 1963. Selepas kematian isteri pertama, Allahyarham berkahwin buat kali kedua dengan Khalijah Abdullah dan juga dikurniakan tiga orang anak.
Entry filed under: Petikan Berita.
Trackback this post | Subscribe to the comments via RSS Feed