Archive for July 28, 2009
Nota 2: Teknik Terjemahan PTS
PTS telah mengadakan Bengkel Teknik Terjemahan Karya Kreatif pada 26 Julai 2009 yang lalu. Ia diajar sendiri oleh sifu, Puan Ainon. Nota ini saya rumuskan agar manfaatnya dapat diperolehi oleh semua.
Teknik 1: Natural Translation
Secara mudah, melalui teknik ‘natural translation’ hasil terjemahan adalah seperti karya asli penterjemah. Selain itu gaya bahasanya asli gaya bahasa bahasa yang diterjemah. Pembaca tidak akan dapat mengesan ‘bau ketiak terjemahan’. Ia memang seolah-olah karya asli penterjemah itu dan karya asli dalam bahasa itu.
Contoh karya asal: They went to find Chris, but I stayed behind.
Contoh terjemahan 1: Mereka keluar mencari Chris tetapi saya tinggal di belakang. (Terjemahan ini buruk sekali kerana jelas mengikut nahu bahasa Inggeris).
Contoh terjemahan 2: Saya tinggal di rumah manakala mereka keluar mencari Chris. (Ini adalah terjemahan yang baik kerana betul nahu bahasa Melayunya dan seolah-olah karya aslinya dalam bahasa Melayu).
Teknik 2: Teori Maklumat
Karya terjemahan dalam banyak keadaan akan lebih panjang daripada karya asal. Ini disebabkan ‘common knowledge’ dalam bahasa asal memang diketahui oleh para pembacanya yang mempunyai latar belakang yang sama. Karya terjemah perlu menerangkan ‘common knowledge’ tersebut yang asing bagi pembaca dari negara lain.
Contoh mudah ialah apabila disebut ‘kimono’ kepada orang Jepun mereka tentu sahaja faham. Apabila hendak diterjemahkan kepada bahasa Melayu ia perlu ditulis ‘baju kimono’ kerana tidak semua orang tahu ia adalah baju.
Common knowledge bagi sesuatu bangsa adalah umpama iceberg yang tenggelam di bawah paras air bagi bangsa lain. Hal ini perlu diterangkan agar tidak masalah pemahaman atau salah faham terhadap karya. Kadangkala jika tidak penting, ia boleh digugurkan terus daripada terjemahan.
Yahamim: Sukar terjemah isi hati.
Nota 1: Prinsip Terjemahan PTS
PTS telah mengadakan Bengkel Teknik Terjemahan Karya Kreatif pada 26 Julai 2009 yang lalu. Ia diajar sendiri oleh sifu, Puan Ainon. Nota ini saya rumuskan agar manfaatnya dapat diperolehi oleh semua.
Prinsip 1: Menepati Syariah.
Prinsip menepati syariah atau syariah compliant adalah prinsip utama PTS dalam keseluruhan operasinya. Dalam karya terjemahan, ia perlu ‘bebas kuman’ supaya menepati syariah. ‘Bebas kuman’ maksudnya bebas daripada unsur maksiat dan dosa. Jika mengandungi maksiat dan dosa sekalipun, ia adalah untuk tujuan nasihat dan pengajaran. Namun para penterjemah tertakluk kepada teknik-teknik tertentu yang dibenarkan. Saya ulangi teknik-teknik yang dibenarkan.
Prinsip 2: Mengenalpasti Antara Kek dan Ising.
Dalam karya kreatif, ada yang dinamakan “kek” dan “ising”. “Kek” adalah cerita utama karya dan “ising” adalah bunga-bunga yang menjadi unsur dramatik karya. Melalui perjanjian antara PTS dan penerbit asal, mereka bersetuju PTS mengasingkan kek dan ising karya asal mereka. Ini bertujuan mengekang daripada budaya asing yang tidak sesuai dibawa masuk dalam karya.
Supaya mudah untuk difahami, saya bawakan contoh berikut.
Karya asal: Thomas send Rose to her apartment. Before Thomas leaves, he give her goodnight kiss.
Karya terjemahan: Thomas menghantar Rose ke pangsapurinya. Sebelum berpisah, dia mengucapkan selamat malam.
Mengikut perjanjian, PTS dibenarkan mengubah goodnight kiss kepada ucapan selamat malam. Ia hanya ising (unsur tambahan) yang tidak mengubah kek (cerita utama). Ini dibuat bagi mengelakkan budaya goodnight kiss ditiru oleh orang Malaysia.
Usaha menterjemah bukanlah semata-mata terjemah daripada bahasa asal ke bahasa Melayu. Ada banyak perkara yang perlu dipertimbangkan. Menepati syariah satu perkara, budaya negatif yang tidak sesuai dengan budaya Malaysia juga perlu ditapis. Kita mahu hanya karya yang BERSIH saya dihidangkan kepada pembaca.
Yahamim: Suka makan kek.
Teori Pemerolehan Bahasa
Disebut oleh Puan Ainon semasa bengkelnya berkenaan teori pemerolehan bahasa. Dalam percakapan dan tulisan, kita hanya mengeluarkan bahasa yang tersimpan dalam memori kita. Ia diperolehi melalui pengalaman, belajar secara formal dan bacaan. Simpanan bahasa inilah yang akan digunakan semula dalam percakapan dan penulisan. Logiknya mudah, jika tiada dalam memori bagaimana ia hendak dikeluarkan?
Ada ungkapan berbunyi “bahasa menunjukkan bangsa”. Bangsa di sini bukanlah Melayu, Cina, India, bumiputera Sabah dan Sarawak dan sebagainya. Ia menunjukkan orang yang berbahasa itu (1) bangsa yang berhemah atau tidak (2) bangsa yang berilmu atau tidak. Oleh itu bahasa yang digunakan oleh seseorang adalah cerminan bangsa orang itu.
Persoalannya bagaimana hendak mendidik masyarakat agar terserlah BANGSAnya melalui BAHASA? Saya huraikan daripada perspektif penulisan pada blog.
SATU: Gunakan Bahasa Melayu Tinggi. Serlahkan keindahan dan kesantunan bahasa Melayu dalam penulisan. Selain itu, mesej kita lebih jelas tanpa dibatasi maksud yang berbeza-beza apabila menggunakan bahasa Melayu rendah. Sebagai contoh, orang Johor dan orang Kelantan berbeza pemahaman apabila menyebut “makan saing”. Bagi orang Johor ia bermaksud “makan bersama-sama”. Bagi orang kelantan pula “saing” bermaksud kawan. Jadi makan saing bermaksud “makan kawan”, negatif jadinya. Oleh itu kurangkan masalah komunikasi ini dengan menggunakan bahasa Melayu tinggi.
DUA: Paparkan Isi Yang Ilmiah. Didik masyarakat dengan perkara ilmu. Ia adalah sebagai dakwah kecil kita kepada masyarakat. Akhirnya bahasa Melayu dikenali sebagai bahasa penyampai ilmu.
TIGA: Kayakan Perbendaharaan Kata. Sebagai contoh, kita hendak membudayakan mencintai ilmu matematik dan sains. Penulisan tentangnya dalam bahasa Melayu membantu mengkayakan perbendaharaan kata pembaca blog. Ia sangat penting dalam memandaikan pembaca dengan ilmu yang bukan bidang mereka.
Yahamim: Bahasa tidak datang bergolek.

Recent Comments