Archive for June, 2009
Tiket Percuma Transformers
Saya ada berita baik kepada para peminat filem Transformers. Kini anda boleh mendapatkan tiket dan menontonnya secara secara percuma. Dapatkannya segera!

Lelaki Yang Patah Sayap Kirinya
Para pembaca budiman, jangan salah sangka. Puisi di bawah bukan karya saya tetapi antara yang dideklamasikan semasa Malam Puisi Utusan baru-baru ini.
Lelaki Yang Patah Sayap Kirinya
Engkau lelaki yang patah sayap kirinya
Menanggalkan baju dukamu di hamparan kenangan
Melonjak dari jendela kamar yang pecah kacanya
Ingin terbang menerpa bulan
Sambil mengilik sebungkus impian.
Tak kau hirau rayuan pungguk yang berhiba lara
Yang memilih pilu sengsara tanpa usaha
Kau dengan kental semangat menjerkah gerhana
Dan menahan mentari dari meminta gilirannya.
Terbanglah lelaki yang patah sayapnya
Berpandukan tongkat paruh jentayu yang setia.
Kau bukan lagi lelaki pilu yang merenung jendela
Setiap kali purnama senyum atau retak di balik ara
Kerana kau arif merisik rindu dan mentafsir cinta
Dari sinar mata pemilik kejora.
Yahamim: Patah sayap terbang jua.
8 Syarat BI Subjek Wajib Lulus oleh Gapena
Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) menyesorkan 8 syarat mata pelajaran BI wajib lulus dalam SPM. Berita penuh di sini:
- Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) dimansuhkan.
- Bahasa Melayu sebagai pengantar bagi pendidikan awal sehingga pengajian tinggi.
- Tenaga pengajar BI cukup, berpengetahuan tinggi dalam strategi pengajaran dan pembelajaran, terampil, sedia kerkhidmat di luar bandar.
- Cukup prasarana dan kemudahan alat mengajar termasuk makmal bahasa terutamanya di luar bandar.
- Wajib lulus Bahasa Melayu peringkat kredit untuk dapat sijil penuh SPM.
- Syarat lulus ujian kelayakan Malaysian University English Test (MUET) untuk masuk ke pusat pengajian tinggi (PPT) dibatalkan jika lulus BI peringkat SPM.
- Kesusasteraan Kebangsaan dan Sejarah mata pelajaran wajib semua aliran.
Setelah membaca rencana di akhbar tersebut, saya hanya mampu menggariskan tujuh. Saya akan kemas kini setelah dapat maklumat lengkap.
Yahamim: Tidak pandai letak syarat.
Jangan Jadi Yu Kia-Kia
Tulisan di bawah saya ambil dari blog Tuan Mohd Isa Razak.
Menjelang atau pada tahun 2020, dianggarkan sebanyak 130,000 orang akan gagal dalam peperiksaan. Mereka gagal memenuhi syarat lulus dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.
Pada masa itu, ada kemungkinan surat dalam bahasa Melayu yang dihantar kepada Jabatan Kerajaan akan dikembalikan kepada penulisnya. Demikian pandangan penulis Rahmat Haroun Hashim dalam blognya.
Pemimpin Melayu kini telah menghilangkan jiwa bangsa kita. Bahasa Jiwa Bangsa tinggal retorik yang lapok. Setiap pemimpin Melayu baru menerajui Kementerian Pelajaran/Pendidikan, setiap kali polisi mengenai bahasa Melayu berubah. Pemimpin-pemimpin kita tidak lagi peduli bahasa.
Jika keputusan lulus BI sebagai syarat lulus SPM dilaksanakan, dijangka setiap tahun 130,000 pelajar akan gagal. Yang jelas akan banyak lagi gejala sosial termasuk peningkatan jumlah Mat Rempit.
Ironi sekali, sekitar tahun 70an, surat-surat dalam BI yang dihantar ke Jabatan-jabatan dan Kementerian-kementerian telah dipulangkan kepada penghantar kerana ianya tidak ditulis dalam Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu. Jika polisi pengagungan BI diteruskan oleh aparat pemerintah (pinjam Bahasa Indonesia), maka tidak hairanlah pada tahun 2020, surat-surat yang ditulis dalam BM akan dikembalikan oleh Jabatan-jabatan Kerajaan kepada penghantar.
Kita wajar peduli akan bahasa kebangsaan kita. Kita perlu endah akan bahasa Melayu kita. Kita mesti ambil berat akan bahasa perpaduan dan bahasa ilmu kita. Jangan bena tak bena, jangan endah tak endah, jangan apatetik tentang isu bahasa. Jangan menjadi seperti yu kia-kia, kepala yu ekor pari yang menguburkan bahasa sendiri.
Yahamim: Tulis blog guna bahasa Melayu.
Menjadi Manusia Redha
Baru-baru ini saya kehilangan barang yang saya sayangi. Pada satu kesempatan, saya berbual-bual dengan seorang sahabat sambil menceritakan peristiwa yang menimpa saya. Beliau menceritakan kepada saya sebuah cerita yang memberikan tauladan supaya menjadi manusia yang redha.
Andai ditanya kepada kelawar, “Adakah kamu redha dengan kejadiaan kamu? Kamu keluar mencari makan pada waktu malam dan bergantung kepada deria bunyi untuk bergerak.”
Kelawar menjawab, “Saya redha kerana Allah lebih mengetahui. Malahan saya bersyukur tidak seperti lalat yang mencari makan di tempat kotor.”
Kemudian lalat ditanya, “Adakah kamu redha dicipta untuk mencari makan di tempat kotor?”
Jawab lalat, “Saya redha malah bersyukur tidak perlu menjadi cacing yang berjalan menggunakan perut.”
Kemudian cacing ditanya, “Kamu dicipta Allah hidup dalam tanah dan berjalan menggunakan perut. Adakah kamu redha?”
Cacing menjawab, “Saya redha dengan keadaan saya berbanding manusia. Mereka suka merungut kurniaan Allah kepada mereka. Yang kaya merungut tidak bahagia, yang miskin merungut serba kurang, yang cantik sentiasa rasa kurang cantik dan macam-macam lagi rungutan.”
Yahamim: Belajar erti redha.
Kita Sama Seperti Zulaikha
Surah ke-12 dalam Al-Quran iaitu surah Yusuf memaparkan kisah hidup Nabi Yusuf as sejak kecil hingga dewasa. Watak-watak di dalamnya mewakili watak manusia yang kita jumpa dalam kehidupan seharian.
Entri ini ditulis khusus membincangkan watak Zulaikha. Diingatkan bahawa nama ini tidak tercatat dalam surah Yusuf. Saya tidak berhajat membincangkan asal-usul namanya di sini melainkan wataknya sahaja.
Jangan melihat watak Zulaikha sebagai sesuatu yang terpisah daripada diri kita. Kita sama seperti Zulaikha dan dia adalah cerminan sifat kita. Di sini saya senaraikan tiga sifatnya dengan sedikit huraian. Para pembaca budiman sangat dialu-alukan untuk menambah isi perbincangan.
Nekad Dalam Membuat Dosa
Dan perempuan yang dia (Yusuf) tinggal di rumahnya menggoda dirinya. Dia menutup pintu-pintu lalu berkata, “Marilah dekat kepadaku.” Yusuf berkata, “Aku berlindung kepada Allah, sungguh tuan aku telah memperlakukan aku dengan baik.” Sesungguhnya orang yang zalim itu tidak akan beruntung. (Ayat 23, surah Yusuf)
Zulaikha tahu taraf Yusuf adalah anak angkat kepadanya. Dia juga tahu perbuatannya menggoda lelaki muda dengan keadaannya yang bersuami salah. Namun dia nekad dengan tindakannya.
Sifat ini tepat mengenai batang hidung kita. Dalam hidup seharian, berapa banyak larangan Allah yang dilanggar sedangkan kita tahu ia salah?
Pandai Putar Belit
Kedua-duanya berlari menuju pintu dan perempuan itu menarik bajunya (Yusuf) dari belakang hingga koyak dan mendapati suami perempuan itu di depan pintu. Perempuan itu berkata, “Apakah balasan terhadap orang yang bermaksud buruk terhadap isterimu, selain dipenjarakan atau dihukum dengan seksa yang pedih?” (Ayat 25, surah Yusuf)
Sudah terbukti silap tetapi masih lagi mahu putar-belit. Sebaliknya silap itu dituding kepada orang lain. Dalam keadaan ini kitalah yang paling petah hujah dan hebat bicaranya. Pihak lawan pula dijadikan kambing hitam.
Pastikan Pihak Lawan Kalah Teruk
Perempuan itu berkata, “…Jika dia tidak melakukan apa yang aku perintahkan kepadanya, nescaya dia akan dipenjarakan dan dia akan menjadi orang yang hina.” (Ayat 32, surah Yusuf)
Hilang langsung pertimbang situasi menang-menang. Yang ada hanyalah menang-KALAH TERUK. Semuanya gara-gara hajat kita tidak dipenuhi. Jika kita tidak dapat, jangan harap orang lain pun dapat.
Kesimpulan
Begitulah mesej yang disampaikan oleh Allah melalui surah ini. Lihatlah watak Zulaikha sebagai cerminan bukan sesuatu yang terasing. Kita sebenarnya sama seperti Zulaikha. Ambil iktibar dan jadikan sempadan dalam hidup agar tidak mengikut jejak yang sama.
Yahamim: Letak cermin di hadapan komputer.
Renungan Terakhir
Sebelumnya kau pergi
Renunglah ku di sini
Kerna mungkin terjadi
Kita takkan bersua lagi
Anggaplah pertemuan ini
Mungkin yang terakhir
Dan tak usah
Kita kesali
Atas apa yang terjadi
Banyaknya pengorbanan
Telah ku pertaruhkan
Mungkin tiada bermakna
Telah banyak mengguris rasa
Untuk itu maafkanku
Kiranya menggangu ketenangan
Dalam hidupmu yang tak perlu kehadiranku
Dugaan…
Inikah dugaan untukku
Hujungnya yang tak seindah mimpi
Hanyalah igauan ngeri
Kau yang pernah ku rindu
Mudahnya berlaku
Mengapa begitu
Berubah layu
Aku menerima
Salam perpisahan
Segalanya sebagai ingatan
Biarlah impian kan berlalu denganmu
Yahamim: Sempat beri renungan terakhir.

Recent Comments