Ungkapan “Satu Lagi” Yang Sangat Popular
Saya berpeluang berkenalan dengan ramai pelajar dari negara Arab seperti Sudan, Libya, Iran, Syria dan lain-lain semasa belajar di peringkat sarjana di UTM. Saya dimaklumkan ungkapan “satu lagi” sangat popular di kalangan mereka.
Apabila siap satu tugasan mereka akan berkata, “Ada satu lagi.” Maksudnya ada lagi tugasan yang perlu disiapkan.
Semasa kuliah apabila pensyarah memberi tugasan mereka akan mencelah “satu lagi” sebagai tanda minta ditambah tugasan.
Menurut seorang rakan, “Ungkapan satu lagi sudah ditambah dalam ‘kamus’ bahasa percakapan pelajar Arab Malaysia.”
Cuba bayangkan jika pengajaran dan pembelajaran di universiti menggunakan bahasa Melayu. Mereka akan berbincang, membuat tugasan dan menjawab soalan periksa menggunakan bahasa Melayu. Jika benar terjadi pasti air mata saya akan bergenang kerana sangat terharu.
Pada saat ini, keadaan tersebut sangat jauh daripada realiti. Mereka lebih fasih berbahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu. Alangkah sedih menghabiskan masa lebih kurang dua tahun di Malaysia tetapi tidak banyak yang dipelajari tentang bahasa Melayu.
Yahamim: Satu lagi entri tentang bahasa Melayu.
Add comment July 13, 2009
Titah Yang Tiada Serinya: Cikgu Ha
Cikgu Ha bersila kemas di serambi. Seorang sahabat mendatanginya.
“Titah berkenaan PPSMI sudah dikeluarkan. Tuan Hamba kelihatannya seperti tiada riak balas, suka tidak, duka pun tidak.”
Cikgu Ha membalas, “Entah apa gerangan hati ini tidak terkesan pun oleh titah memanda Menteri Pelajaran. Selama ini, hamba tidak pernah dengar sepatah pun ulasan tentang pendiriannya terhadap GMP (Gerakan Mansuhkan PPSMI). Pendiriannya kepada GMP entah tegak entahkan condong.”
Cikgu Ha berhenti mengambil nafas. “Adapun hamba lebih suka PPSMI dimansuhkan pada tahun yang bakal menjelang. Tidak perlu berlengah sehingga tiga tahun. Titah tersebut tiada serinya. Muslihat apa yang cuba dimainkan?”
Kemudian Cikgu Ha berpantun sayu sendu.
Semua orang menanam pulut,
Saya seorang menanam padi;
Banyak orang karam di laut,
Saya seorang karam di hati.
Diulang baris terakhir dengan lirik yang lain tetapi lebih sayu sendu. “Bahasa karam di negara sendiri…”
Yahamim: Akur pada titah.
1 comment July 10, 2009
Meminjam Perkataan Tanda Bahasa Itu Berkembang
Rencana ini disalin daripada blog Tuan Mohd Isa Abdul Razak. Ia juga dipetik daripada makalah “Bahasa Pinjaman yang Memperkaya Bahasa Melayu” oleh Mohd Isa Abd Razak dalam Dewan Bahasa, Julai 2009, halaman 20 – 23.

Pada abad kelapan belas dan kesembilan belas masyarakat Eropah, termasuk orang Inggeris, meminjam istilah dan ungkapan ilmiah secara besar-besaran daripada bahasa Yunani dan Latin. Kini dianggarkan lebih sembilan puluh peratus istilah perubatan bahasa Inggeris dipinjam daripada kedua-dua bahasa itu.
Pada abad ke-20 negara Dunia Ketiga pula meminjam unsur bahasa asing secara besar-besaran, terutamanya daripada bahasa Inggeris. Antara negara itu termasuklah Jepun. Dalam satu seminar, seorang pengkaji menyatakan, orang Jepun tidak berasa malu meminjam istilah daripada bahasa Inggeris. Pendeknya, peminjaman apa-apa unsur bahasa asing oleh sesuatu bahasa ialah perkara biasa. Malah, peminjaman bersistem dianggap satu tanda kemodenan dan kedinamikan bahasa. Demikian jugalah halnya dengan bahasa Melayu.
Bahasa Melayu meminjam unsur bahasa asing sesuai dengan perjalanan sejarah. Peminjaman unsur oleh bahasa Melayu berlaku hasil pertembungan orang Melayu dengan orang asing. Orang Melayu meminjam unsur bahasa Sanskrit daripada orang India, unsur bahasa Arab daripada orang Timur Tengah dan unsur bahasa Inggeris daripada orang Eropah.
Inilah tiga bahasa yang menjadi sumber pinjaman bahasa Melayu secara besar-besaran. Secara kecil-kecilan pula, bahasa Melayu meminjam unsur beberapa bahasa lain seperti Parsi, Cina, Tamil, Portugis dan Belanda. Malah bahasa Melayu juga meminjam unsur bahasa serumpun seperti bahasa Jawa. Walau bagaimanapun, makalah ini membincangkan peminjaman unsur daripada bahasa Sanskrit dan bahasa Arab sahaja.
Perbincangan ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu bukanlah meminjam bahasa asing atau tatabahasanya. Yang dipinjam hanyalah unsur bahasa itu. Peminjaman unsur yang ketara daripada bahasa Sanskrit ialah kosa kata dan imbuhan. Daripada bahasa Arab pula bahasa Melayu meminjam tulisan, bunyi, kosa kata, imbuhan dan ungkapan.
Unsur yang dipinjam itu disesuaikan dengan sifat bahasa Melayu. Dengan perkataan lain, peminjaman itu tidak menyebabkan bahasa Melayu menjadi bahasa rojak. Tegasnya, bahasa Melayu tetap asli. Peminjaman unsur bahasa Sanskrit dan bahasa Arab itu menjadikan bahasa Melayu bertambah kaya dan mantap.
Yahamim: Kadang-kadang gemar meminjam.
Add comment July 6, 2009
Memperkenalkan Perkataan Baru
Siapakah yang bertanggungjawab mencipta istilah baru? Kita sebagai orang biasa-biasa layakkah mencipta atau mencadangkan istilah baru dalam bahasa Melayu? Di sini saya sampaikan sedikit ilmu yang ada. Jika musykil sila rujuk kepada yang lebih arif dan berautoriti.
Sebagai seorang penulis, kita mendepani bahasa Melayu. Ada ketikanya apabila menulis tentang sesuatu, tiada istilah yang sesuai dalam kamus bahasa Melayu. Maka dengan itu kita boleh meminjam isitilah dari sumber asal dengan syarat menuliskan maksudnya agar pembaca boleh faham. Selepas itu gunakan perkataan itu dengan kerap. Kelak pembaca terbiasa dengan istilah tersebut.
Sebagai contoh saya ingin memperkenalkan satu perkataan daripada bahasa Jawa yang berbunyi konangan. Ia bermaksud kesalahan atau perbuatan yang cuba disembunyikan tetapi akhirnya diketahui oleh orang lain. Ia seakan-akan sama dengan slanga kantoi. Contoh ayat:
-
Amir dirotan guru disiplin kerana konangan ponteng kelas. Ulasan: Perbuatan Amir ponteng kelas telah diketahui oleh guru disiplin lantas dia dirotan.
-
Faizal cuba menyembunyikan berita kehilangan motornya tetapi konangan oleh rakan sepejabatnya. Ulasan: Dalam konteks ini perkataan “diketahui” boleh digunakan tetapi “konangan” membawa konsep yang lebih khusus.
Sebagai panduan, rujukan perkataan secara online boleh dibuat di Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PPRM). Cadangan perkataan baru boleh dibuat kepada DBP.
Yahamim: Konangan tulis blog.
Add comment July 6, 2009
Sesuaikah Guna Bahasa Celaru?
Ini adalah komen yang saya salin daripada blog Puan Ainon yang bertajuk Amoi Seksi Membeli Novel Cinta Islami. Saya sunting sedikit agar sesuai dengan blog saya.
Nino: Sekadar bertanya dan beri pendapat tentang penggunaan bahasa melayu tinggi, adakah ia tidak mengongkong kreativiti penulis? Bagaimana hendak menggambarkan suatu watak yang ‘celaru’ berbahasa? Contohnya seorang penagih dadah bercakap. Adakah penggunaan Bahasa Melayu Tinggi (BMT) membenarkan penulis mencipta perkataan sendiri? Contoh perkataan ciluk. Mungkin tidak diiktiraf sebgai BMT, tapi ia mempunyai makna tersendiri. Pada saya sesetengah perkataan baru yang menjadi trend orang muda sekarang boleh diiktiraf. Ia turut mengkayakan perbendaharaan kata dalam BM.
Tokey: Sekadar pendapat.
Bahasa celaru hanya difahami oleh generasi yang bercelaru saja. Generasi ini akan pupus ditelan zaman apabila diganti dengan generasi lebih muda.
BMT, bukunya akan menjadi evergreen, sepertilah lagu Melayu Asli, filem hitam-putih lakonan P. Ramlee, Nordin Ahmad dikenang sehingga sekarang oleh generasi lama dan dikagumi dan difahami oleh generasi baru.
Bandingkan cerita Prof. Razak Abdul Razak Mohaideen, Dato’ Yusuf Haslam yang ‘celaru’ bahasanya. Adakah lebih KREATIF daripada cerita filem hitam-putih?
Malangnya generasi kita akan mewariskan cerita “hampas” yang cacamerba bahasanya atas nama kreativiti.
Perkayaan istillah BM bukannya dibuat oleh sesiapa saja ikut suka hati.
Yahamim: Celaru pada tempatnya.
Add comment July 5, 2009
Kisah Mat Rempit Yang Punya Nilai Dagangan Tinggi
Saya ditanya oleh seorang sahabat, apakah gaya bahasa yang sesuai untuk menulis cerita tentang mat rempit dan bohsia. Adakah perlu mengikut gaya bahasa mereka atau yang bagaimana? Katanya hendak mendekati mereka perlulah pendekatan yang sesuai.
Di sini saya sertakan satu babak perbualan mat rempit yang saya reka. Ia ditulis dalam dua versi iaitu pendekatan berbeza gaya yang bahasa tetapi ceritanya tetap sama.
Kisah Mat Rempit Versi 1
Mat dan Wan bertenggek di atas motor di hadapan kampung. Mat menelefon seseorang. Selepas beberapa ketika, dia memutuskan talian.
Mat mendengus, “Apai tak jadi datang. Bapak dia paksa dia solat maghrib dan isyak di surau. Apai sengallah, dah tahu nak rempit keluarlah lebih awal.”
Wan senyum sumbing. “Kuang kuang kuang. Anak soleh gitu.”
Mat terus menyumpah seranah. Dia membebel entah apa. Wan mencelah, “Membebel macam Cik Bedah kena tinggal laki. Rempit on tak?”
“Mestilah on. Jom chow.”
Mereka start motor dan memecut, meninggalkan asap yang berkepul-kepul.
Kisah Mat Rempit Versi 2
Mat dan Wan bertenggek di atas motor di hadapan kampung. Mat menelefon seseorang. Selepas beberapa ketika, dia memutuskan talian.
Mat mendengus, “Apai tidak jadi datang. Ayahnya paksa dia solat maghrib dan isyak di surau. Apai lecehlah, sudah tahu hendak rempit keluarlah lebih awal.”
Wan senyum sumbing. “Anak soleh.”
Mat terus menyumpah seranah. Dia membebel entah apa. Wan mencelah, “Berhentilah membebel. Kita jadi merempit atau tidak?”
“Mestilah jadi. Mari.”
Mereka menghidupkan motor dan memecut, meninggalkan asap yang berkepul-kepul.
Ulasan:
Versi 1 menggunakan bahasa perbualan harian manakala versi 2 menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Agak-agaknya jika hendak dijual, cerita versi manakah yang mempunyai nilai dagangan yang tinggi?
Versi 1 sangat kecil khalayak pembacanya kerana sebab-sebab berikut:
-
Orang dewasa mungkin tidak faham cerita yang hendak disampaikan kerana gaya bahasa yang sangat trendy. Jika mereka tidak faham, bagaimana mereka hendak memahami kehidupan mat rempit seterusnya mendekati mereka? Orang dewasa terus dilabel sebagai tidak memahami jiwa mat rempit.
-
Slanga dan loghat di Malaysia adalah berbagai-bagai. Ia tidak sama di kalangan remaja di utara, remaja KL, remaja pantai timur, remaja selatan hatta remaja Sabah dan Sarawak kecuali istilah-istilah universal Malaysia. Kita hilang lagi sebahagian pembaca.
-
Kebanyakan orang Cina dan India bersekolah di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan. Mereka lancar dan fasih berbahasa Melayu. Di sekolah, mereka belajar Bahasa Melayu Tinggi. Mereka lebih selesa membaca cerita yang menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Bagaimana hendak mempengaruhi mereka jika mereka tidak selesa dengan gaya bahasa kita?
-
Dapatkah pengguna bahasa Melayu di Brunei, Selatan Thailand, Singapura dan Indonesia memahami cerita tersebut yang pekat bau ketiak (pinjam istilah Puan Ainon) orang Malaysia?
-
Negara Melayu nusantara menerima kunjungan pelajar dari negara-negara Arab (Sudan, Libya, Iran dsb), barat (US, UK, Australia dsb), Jepun, Korea dan banyak lagi yang menuntut di sini. Mereka belajar bahasa Melayu di bilik kuliah (sekali lagi bahasa Melayu Tinggi). Mereka juga ada hak untuk mengetahui cerita mat rempit Malaysia. Sebagai bonus, penguasaan bahasa Melayu mereka juga bertambah.
Jawapan kepada semua persoalan di atas adalah menggunakan bahasa Melayu Tinggi. Dengan cerita yang bermutu tinggi dan bahasa yang indah cerita kita di blog boleh dibaca oleh ramai orang. Hendak di ekspot dalam bentuk novel dan filem lagilah boleh. Tidaklah malu jaja karya kita kepada mereka.
Satu persoalan kepada orang yang bertanya. Sanggupkah anda terima persepsi pembaca bahawa anda sebagai penulis, buruk penguasaan bahasanya? Selain itu anda dipandang sama mereng, jalang dan gemar merempit seperti watak yang anda ceritakan.
Yahamim: Dakwah bahasa.
Add comment July 4, 2009
Kelebihan Al-Quran Adalah Pada Bahasa
Ini adalah petikan daripada buku “Biografi Muhamammad Bin Abdullah-Perjalanan Seorang Nabi” terbitan PTS pada muka surat 55:
“Setiap nabi datang membawa kelebihan daripada jenis kemahiran kaumnya. Nabi Musa datang membawa tongkat sakti berhadapan dengan Firaun yang terkenal dengan ilmu sihir. Nabi Isa datang dengan kelebihan mengubat penyakit-penyakit dan dapat menghidupkan orang mati kerana kaumnya adalah pakar-pakar perubatan pada masa itu. Nabi Muhammad pula membawa kelebihan pada bahasa iaitu Al-Quran dalam bahasa Arab yang sangat indah dan sangat luar biasa kepada bangsa Arab yang sangat mahir berbahasa.”
Al-Quran mempunyai kelebihan pada bahasanya yang indah. Ditambah lagi dengan ayat pertama yang diturunkan ialah Iqra’ iaitu bacalah. Ini memberi isyarat ilmu dan bahasa mempunyai kaitan yang sangat rapat. Oleh itu bahasa yang dikurniakan kepada setiap bangsa adalah nikmat yang perlu dijaga. Tidak kira bahasa apa sekalipun; bahasa Melayu, bahasa Mandarin, bahasa Tamil malah bahasa Inggeris perlu disyukuri nikmat bahasa itu. Jangan dikufuri nikmat yang diberi. Kuasailah bahasa dan berbahasalah dengan baik.
Ini bersangkut juga dengan isu PPSMI. Bahasa menjadi instrumen atau alat penting menyampaikan ilmu. Untuk menyampaikan ilmu, sampaikanlah dalam bahasa yang mudah difahami penerimanya. Dalam hal ini bahasa yang paling difahami di negara ini adalah bahasa Melayu. Maka wajar sekali sains dan matematik diajar dalam bahasa Melayu. Mudah-mudahan dengan bahasa yang mudah difahami, usaha untuk memandaikan bangsa menjadi lebih mudah dan diberkati.
Isu ini tetap diguna pakai dalam menyampaikan ilmu lain. Kala ini masyarakat dilanda kegilaan berblog, friendster, facebook dan banyak lagi wadah komunikasi dan rangkaian sosial lain. Gunakanlah bahasa yang baik dan indah. Elakkan penggunaan bahasa pasar, slanga dan bahasa rojak. Contohilah al-Quran yang menggunakan Bahasa Arab Tinggi. Mudah-mudahan dengan niat mencontohi al-Quran, kita diberi pahala melalui bahasa dalam tulisan kita.
Bahasa yang indah dan baik bukan untuk sasterawan, guru bahasa dan orang yang berkaitan bahasa sahaja. Ia adalah untuk semua umat Muhammad. Baik doktor, jurutera, pelajar, peguam malah buruh kasar sekalipun mereka berhak memperbaiki bahasa. Bersama-sama kita suburkan sunah al-Quran ini.
Belacu tidak seindah mana,
Terpikat pada tahan lasaknya;
Rupa tidak sebagailah mana,
Terpikat pada budi bahasa.
Yahamim: Tidak pandai memikat.
1 comment July 3, 2009
Tiket Percuma Transformers
Saya ada berita baik kepada para peminat filem Transformers. Kini anda boleh mendapatkan tiket dan menontonnya secara secara percuma. Dapatkannya segera!

Add comment June 29, 2009
Lelaki Yang Patah Sayap Kirinya
Para pembaca budiman, jangan salah sangka. Puisi di bawah bukan karya saya tetapi antara yang dideklamasikan semasa Malam Puisi Utusan baru-baru ini.
Lelaki Yang Patah Sayap Kirinya
Engkau lelaki yang patah sayap kirinya
Menanggalkan baju dukamu di hamparan kenangan
Melonjak dari jendela kamar yang pecah kacanya
Ingin terbang menerpa bulan
Sambil mengilik sebungkus impian.
Tak kau hirau rayuan pungguk yang berhiba lara
Yang memilih pilu sengsara tanpa usaha
Kau dengan kental semangat menjerkah gerhana
Dan menahan mentari dari meminta gilirannya.
Terbanglah lelaki yang patah sayapnya
Berpandukan tongkat paruh jentayu yang setia.
Kau bukan lagi lelaki pilu yang merenung jendela
Setiap kali purnama senyum atau retak di balik ara
Kerana kau arif merisik rindu dan mentafsir cinta
Dari sinar mata pemilik kejora.
Yahamim: Patah sayap terbang jua.
Add comment June 23, 2009
8 Syarat BI Subjek Wajib Lulus oleh Gapena
Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) menyesorkan 8 syarat mata pelajaran BI wajib lulus dalam SPM. Berita penuh di sini:
- Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) dimansuhkan.
- Bahasa Melayu sebagai pengantar bagi pendidikan awal sehingga pengajian tinggi.
- Tenaga pengajar BI cukup, berpengetahuan tinggi dalam strategi pengajaran dan pembelajaran, terampil, sedia kerkhidmat di luar bandar.
- Cukup prasarana dan kemudahan alat mengajar termasuk makmal bahasa terutamanya di luar bandar.
- Wajib lulus Bahasa Melayu peringkat kredit untuk dapat sijil penuh SPM.
- Syarat lulus ujian kelayakan Malaysian University English Test (MUET) untuk masuk ke pusat pengajian tinggi (PPT) dibatalkan jika lulus BI peringkat SPM.
- Kesusasteraan Kebangsaan dan Sejarah mata pelajaran wajib semua aliran.
Setelah membaca rencana di akhbar tersebut, saya hanya mampu menggariskan tujuh. Saya akan kemas kini setelah dapat maklumat lengkap.
Yahamim: Tidak pandai letak syarat.
Add comment June 19, 2009
Jangan Jadi Yu Kia-Kia
Tulisan di bawah saya ambil dari blog Tuan Mohd Isa Razak.
Menjelang atau pada tahun 2020, dianggarkan sebanyak 130,000 orang akan gagal dalam peperiksaan. Mereka gagal memenuhi syarat lulus dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.
Pada masa itu, ada kemungkinan surat dalam bahasa Melayu yang dihantar kepada Jabatan Kerajaan akan dikembalikan kepada penulisnya. Demikian pandangan penulis Rahmat Haroun Hashim dalam blognya.
Pemimpin Melayu kini telah menghilangkan jiwa bangsa kita. Bahasa Jiwa Bangsa tinggal retorik yang lapok. Setiap pemimpin Melayu baru menerajui Kementerian Pelajaran/Pendidikan, setiap kali polisi mengenai bahasa Melayu berubah. Pemimpin-pemimpin kita tidak lagi peduli bahasa.
Jika keputusan lulus BI sebagai syarat lulus SPM dilaksanakan, dijangka setiap tahun 130,000 pelajar akan gagal. Yang jelas akan banyak lagi gejala sosial termasuk peningkatan jumlah Mat Rempit.
Ironi sekali, sekitar tahun 70an, surat-surat dalam BI yang dihantar ke Jabatan-jabatan dan Kementerian-kementerian telah dipulangkan kepada penghantar kerana ianya tidak ditulis dalam Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu. Jika polisi pengagungan BI diteruskan oleh aparat pemerintah (pinjam Bahasa Indonesia), maka tidak hairanlah pada tahun 2020, surat-surat yang ditulis dalam BM akan dikembalikan oleh Jabatan-jabatan Kerajaan kepada penghantar.
Kita wajar peduli akan bahasa kebangsaan kita. Kita perlu endah akan bahasa Melayu kita. Kita mesti ambil berat akan bahasa perpaduan dan bahasa ilmu kita. Jangan bena tak bena, jangan endah tak endah, jangan apatetik tentang isu bahasa. Jangan menjadi seperti yu kia-kia, kepala yu ekor pari yang menguburkan bahasa sendiri.
Yahamim: Tulis blog guna bahasa Melayu.
Add comment June 16, 2009
Menjadi Manusia Redha
Baru-baru ini saya kehilangan barang yang saya sayangi. Pada satu kesempatan, saya berbual-bual dengan seorang sahabat sambil menceritakan peristiwa yang menimpa saya. Beliau menceritakan kepada saya sebuah cerita yang memberikan tauladan supaya menjadi manusia yang redha.
Andai ditanya kepada kelawar, “Adakah kamu redha dengan kejadiaan kamu? Kamu keluar mencari makan pada waktu malam dan bergantung kepada deria bunyi untuk bergerak.”
Kelawar menjawab, “Saya redha kerana Allah lebih mengetahui. Malahan saya bersyukur tidak seperti lalat yang mencari makan di tempat kotor.”
Kemudian lalat ditanya, “Adakah kamu redha dicipta untuk mencari makan di tempat kotor?”
Jawab lalat, “Saya redha malah bersyukur tidak perlu menjadi cacing yang berjalan menggunakan perut.”
Kemudian cacing ditanya, “Kamu dicipta Allah hidup dalam tanah dan berjalan menggunakan perut. Adakah kamu redha?”
Cacing menjawab, “Saya redha dengan keadaan saya berbanding manusia. Mereka suka merungut kurniaan Allah kepada mereka. Yang kaya merungut tidak bahagia, yang miskin merungut serba kurang, yang cantik sentiasa rasa kurang cantik dan macam-macam lagi rungutan.”
Yahamim: Belajar erti redha.
3 comments June 16, 2009
Kita Sama Seperti Zulaikha
Surah ke-12 dalam Al-Quran iaitu surah Yusuf memaparkan kisah hidup Nabi Yusuf as sejak kecil hingga dewasa. Watak-watak di dalamnya mewakili watak manusia yang kita jumpa dalam kehidupan seharian.
Entri ini ditulis khusus membincangkan watak Zulaikha. Diingatkan bahawa nama ini tidak tercatat dalam surah Yusuf. Saya tidak berhajat membincangkan asal-usul namanya di sini melainkan wataknya sahaja.
Jangan melihat watak Zulaikha sebagai sesuatu yang terpisah daripada diri kita. Kita sama seperti Zulaikha dan dia adalah cerminan sifat kita. Di sini saya senaraikan tiga sifatnya dengan sedikit huraian. Para pembaca budiman sangat dialu-alukan untuk menambah isi perbincangan.
Nekad Dalam Membuat Dosa
Dan perempuan yang dia (Yusuf) tinggal di rumahnya menggoda dirinya. Dia menutup pintu-pintu lalu berkata, “Marilah dekat kepadaku.” Yusuf berkata, “Aku berlindung kepada Allah, sungguh tuan aku telah memperlakukan aku dengan baik.” Sesungguhnya orang yang zalim itu tidak akan beruntung. (Ayat 23, surah Yusuf)
Zulaikha tahu taraf Yusuf adalah anak angkat kepadanya. Dia juga tahu perbuatannya menggoda lelaki muda dengan keadaannya yang bersuami salah. Namun dia nekad dengan tindakannya.
Sifat ini tepat mengenai batang hidung kita. Dalam hidup seharian, berapa banyak larangan Allah yang dilanggar sedangkan kita tahu ia salah?
Pandai Putar Belit
Kedua-duanya berlari menuju pintu dan perempuan itu menarik bajunya (Yusuf) dari belakang hingga koyak dan mendapati suami perempuan itu di depan pintu. Perempuan itu berkata, “Apakah balasan terhadap orang yang bermaksud buruk terhadap isterimu, selain dipenjarakan atau dihukum dengan seksa yang pedih?” (Ayat 25, surah Yusuf)
Sudah terbukti silap tetapi masih lagi mahu putar-belit. Sebaliknya silap itu dituding kepada orang lain. Dalam keadaan ini kitalah yang paling petah hujah dan hebat bicaranya. Pihak lawan pula dijadikan kambing hitam.
Pastikan Pihak Lawan Kalah Teruk
Perempuan itu berkata, “…Jika dia tidak melakukan apa yang aku perintahkan kepadanya, nescaya dia akan dipenjarakan dan dia akan menjadi orang yang hina.” (Ayat 32, surah Yusuf)
Hilang langsung pertimbang situasi menang-menang. Yang ada hanyalah menang-KALAH TERUK. Semuanya gara-gara hajat kita tidak dipenuhi. Jika kita tidak dapat, jangan harap orang lain pun dapat.
Kesimpulan
Begitulah mesej yang disampaikan oleh Allah melalui surah ini. Lihatlah watak Zulaikha sebagai cerminan bukan sesuatu yang terasing. Kita sebenarnya sama seperti Zulaikha. Ambil iktibar dan jadikan sempadan dalam hidup agar tidak mengikut jejak yang sama.
Yahamim: Letak cermin di hadapan komputer.
5 comments June 8, 2009
Renungan Terakhir
Sebelumnya kau pergi
Renunglah ku di sini
Kerna mungkin terjadi
Kita takkan bersua lagi
Anggaplah pertemuan ini
Mungkin yang terakhir
Dan tak usah
Kita kesali
Atas apa yang terjadi
Banyaknya pengorbanan
Telah ku pertaruhkan
Mungkin tiada bermakna
Telah banyak mengguris rasa
Untuk itu maafkanku
Kiranya menggangu ketenangan
Dalam hidupmu yang tak perlu kehadiranku
Dugaan…
Inikah dugaan untukku
Hujungnya yang tak seindah mimpi
Hanyalah igauan ngeri
Kau yang pernah ku rindu
Mudahnya berlaku
Mengapa begitu
Berubah layu
Aku menerima
Salam perpisahan
Segalanya sebagai ingatan
Biarlah impian kan berlalu denganmu
Yahamim: Sempat beri renungan terakhir.
4 comments June 8, 2009
Orang Yang Dipanggil Pakcik
Agak lama saya tidak memeriksa e-mel Yahoo! Di sebalik timbunan emel up-date daripada friendster dan entah apa-apa lagi muncul gambar ini. Ia dihantar oleh orang yang banyak masa lapang semasa waktu kerja. Adakah patut dia panggil saya pakcik? Pakcik tidak kisah…
![pakcik mane tah[1].. pakcik mane tah[1]..](http://yahamim.files.wordpress.com/2009/05/pakcik-mane-tah1.jpg?w=455&h=616)
Yahamim: Pakcik kepada tiga orang anak saudara.
2 comments May 29, 2009
